WEBINAR INTENSIF DAURAH MUKATTHAFAH NUSŪS FIQHIYYAH SYAR’IYYAH (MUGHNI AL-MUHTĀJ) LIL IMĀM KHATIB AL-SYIRBINĪ SIRI 3/2023

JUMAAT, 23 Jun 2023 – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sentiasa istiqamah dalam rencananya memperkasakan kemahiran pembacaan dan pemahaman kitab-kitab turath dalam kalangan Pegawai Syariah melalui program-program yang dirangka dan dilaksanakan. Selari dengan aspirasi tersebut, Bahagian Latihan pada tahun ini, meneruskan siaran program Pengajian Turath Webinar Daurah Mukatthafah Nusūs Fiqhiyyah Syariyyah (Mughni al-Muhtāj) Lil Imām Khatib al-Syirbinī dengan sasaran peserta adalah terbuka kepada semua peringkat Pegawai Syariah seluruh Malaysia. Program yang diadakan ini bertujuan memenuhi matlamat Daurah iaitu pada memastikan kefahaman peserta terus diperteguhkan dengan prinsip fiqh mazhab syafie, perbahasan dan pandangan yang berpaksikan ulama mazhab tersebut yang terkandung dalam teks klasik Mughni al-Muhtaj. Walaubagaimanapun, Daurah Siri ke-3 pada kali ini telah dibahagikan kepada dua segmen iaitu slot sebelah pagi memfokuskan kepada Bab al-Qada’ dalam Kitab Mughniyy al-Muhtaj, manakala selepas rehat perbincangan beralih kepada Kitab Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il dalam Bab al-Talaq (Masalah-Masalah Fiqh Terpilih daripada Bab al-Talaq) karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani transliterasi oleh Kumpulan Penterjemah dan Pengubah Aksara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Daurah Siri ke-3 Tahun 2023 menampilkan panel penceramah pakar turath JKSM iaitu Al-Fadhil Tuan Nabil bin Dato’ Haji Muhammad Shukri. Di bawah Bab al-Qada’, penceramah telah membincangkan perihal tatakelola kehakiman Syariah seperti isu saraan hakim-hakim, pencatat, penterjemah, skop pusat tahanan (penjara/lokap) dalam kes mal, fi dan kos, di samping pendedahan kepada peserta berhubung dengan teknik memahami uslub (gaya bahasa) pengarang kitab bagi memastikan para peserta dapat membezakan serta memilih pandangan-pandangan yang bersesuaian untuk tujuan aplikasi. Sementara itu, berhubung dengan Kitab Furu’ al-Wasa’il di bawah permasalahan talak, perbahasan berkaitan syarat sah talak, status suami yang melafazkan talak seperti suami berstatus kanak-kanak atau yang hilang kewarasan sehingga ke tahap gila, faktor-faktor pertimbangan rosaknya akal akibat pengambilan bahan-bahan terlarang serta memabukkan secara sengaja mahu pun tidak sengaja turut telah diperbincangkan.

Program Webinar Intensif Daurah Mukatthafah Nusūs Fiqhiyyah Syar’iyyah (Mughni al-Muhtāj) Lil Imām Khatib al-Syirbini Siri 3/2023 ini bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari dan dijangka akan bersiaran buat kali ke-4 pada bulan Julai 2023.

Untuk rekod, pembelian Kitab Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il dalam Bab al-Talaq (Masalah-Masalah Fiqh Terpilih Daripada Bab al-Talaq) karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani transliterasi oleh Kumpulan Penterjemah dan Pengubah Aksara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) boleh dilakukan dengan menghubungi Bahagian Pusat Sumber dan Penerbitan, JKSM.

Jumpa lagi di siri yang ke-4, insya Allah.

Last Updated on June 23, 2023

Kalendar JKSM

November 25, 2024