Wang berkurang kasih terlerai

KEHILANGAN kerja, pengurangan mendadak sumber pendapatan dan komitmen bulanan tinggi mendorong kepada berlakunya perceraian.

Kuala Lumpur: Kemelut kewangan serius sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibatpenularan Covid-19 menjadi punca utama perceraian pasangan Islam di negara ini.

Kehilangan kerja, pengurangan mendadak sumber pendapatan selain komitmen bulanan yang tinggi mendorong kepada berlakunya perceraian.

Malah, ada pasangan yang beranggapan perceraian sebagai ‘jalan keluar’ untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, berdasarkan data diperoleh, bermula Mac 2020 hingga 25 Februari lalu sebanyak 48,483 kes perceraian direkodkan pihaknya.

Malah, katanya, tahun lalu 1,687 perceraian direkod pada Mei sebelum meningkat hampir lima kali ganda kepada 7,545 kes pada Jun.

Katanya, jumlah itu menurun pada Julai
kepada 6,163 kes, Ogos (5,351 kes) dan meningkat sedikit pada September (5,582 kes).

“Kes direkod pada Oktober menurun kepada 4,354 kes, November (3,742 kes) dan Disember (4,174 kes).

“Bagi Januari tahun ini 3,236 kes direkodkan manakala bagi Februari, jumlah direkodkan sehingga 25 Februari meningkat sedikit sebanyak 3,428 kes,” katanya.

Beliau berkata, pasangan di Selangor merekodkan kes perceraian tertinggi dengan 8,183 kes diikuti Johor (4,815 kes) sejak Mac hingga Disember tahun lalu.

Katanya, untuk Januari dan Februari tahun ini, Selangor kekal tertinggi dengan 1,000 kes manakala Perak merekodkan 732 kes.

“Punca utama perceraian disebabkan tiada persefahaman selepas ada antara pasangan terutama suami hilang sumber pendapatan utama disebabkan PKP.

“Kemelut rumah tangga ini yang tidak dapat diselesaikan dengan baik akhirnya membawa kepada perceraian,”katanya.

GAMBAR HIASAN

Suami bertukar ‘wajah’ selepas dihimpit kesusahan

Jempol: “Suami sebelum ini seorang penyayang, namun bertukar sebaliknya berikutan kesempitan wang,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Izan, 28.

Dia mengakui pandemik Covid-19 yang melanda negara dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kehidupan mereka terkesan dengan masalah kewangan.

Katanya, faktor kewangan menjadi punca utama rumah tangga mereka berantakan terutama apabila suami diberhentikan kerja.

Izan yang menetap di Seremban ketika ditemui berkata, sebelum ini dia dan suami tidak pernah menghadapi masalah kewangan berikutan masing-masing mempunyai kerjaya selain bekerja di tempat kerja yang sama.

Menurutnya, disebabkan dirinya dan suami bekerja, pendapatan diterima membolehkannya membeli sebuah rumah dan kereta.

“Namun siapa sangka pandemik Covid-19 melanda negara disusuli dengan PKP pada Mac tahun lalu mengubah segala-galanya.

“Syarikat tempat kerja saya dan suami terkesan dengan situasi itu apabila mula mengurangkan kakitangan, gaji dan kemudian diberhentikan dengan alasan perniagaan semakin teruk,” katanya.

Izan berkata, pada awalnya dia menyangka keadaan dapat dikawal kerana ada simpanan untuk digunakan pada waktu kecemasan, namun sebaliknya berlaku.

“Selain digunakan untuk perbelanjaan harian, wang simpanan digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat penapis air, pinjaman motosikal, kedai perabot dan lain-lain.

“Suami yang sebelum ini seorang penyayang bertukar sebaliknya berikutan kesempitan wang,” katanya.

Berikutan itu, katanya, mereka berpisah selepas sesi kaunseling tidak berhasil.

Mengakui perceraian bukan jalan terbaik buatnya, Izan berkata, dia dan suami hadir bersama ke mahkamah sebelum Julai tahun lalu dan berpisah dengan talak satu.

“Perceraian ini membuatkan saya jadi murung namun bagi bekas suami, ia jalan terbaik sebab dia takut mencederakan diri saya dan anak jika keadaan tidak dapat dikawal.

“Ada syarikat seperti menjual penapis air dan menawarkan pinjaman kredit tidak boleh bertolak ansur dalam menyusun semula bayaran bulanan sehingga setiap hari menelefon meminta kami membayar hutang,” katanya.

Menurutnya, anaknya kini di bawah jagaannya atas permintaan bekas suami.

Sumber: Harian Metro

Last Updated on December 11, 2021

Kalendar JKSM

Events in December 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
November 25, 2024 November 26, 2024 November 27, 2024 November 28, 2024 November 29, 2024 November 30, 2024 December 1, 2024
December 2, 2024(1 event) December 3, 2024(1 event) December 4, 2024(1 event) December 5, 2024 December 6, 2024 December 7, 2024 December 8, 2024
December 9, 2024(1 event) December 10, 2024(1 event) December 11, 2024(1 event) December 12, 2024(2 events) December 13, 2024 December 14, 2024 December 15, 2024
December 16, 2024 December 17, 2024 December 18, 2024 December 19, 2024 December 20, 2024 December 21, 2024 December 22, 2024
December 23, 2024 December 24, 2024 December 25, 2024 December 26, 2024 December 27, 2024 December 28, 2024 December 29, 2024
December 30, 2024 December 31, 2024 January 1, 2025 January 2, 2025 January 3, 2025 January 4, 2025 January 5, 2025