Semak semula enakmen jenayah syariah negeri

Musa ketika ditemubual wartawan Sinar Ahad di Shah Alam baru-baru ini.

[MUKADIMAH] Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memutuskan Seksyen 28, Enakmen Jenayah Syariah Selangor bagi kesalahan seks luar tabii sebagai tidak berperlembagaan sekali gus dikhuatiri bakal mencetuskan kesan domino ke atas semua undang-undang jenayah syariah di negara ini.

Keputusan mahkamah itu bermakna penggubalan undang-undang syariah yang mempunyai persamaan atau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal.

Justeru, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang mahu undang-undang syariah di negeri-negeri disemak semula bagi mengelakkan ia berisiko dicabar sekali lagi di mahkamah.

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Musa turut melahirkan kebimbangannya mengenai reaksi berlebihan pihak berkuasa terhadap kontroversi Nur Sajat sehingga menyebabkan institusi agama di negara ini dipandang rendah.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Musa Awang yang dikendalikan wartawan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Raja Nur Faznie Aida di pejabat peguam berpengalaman itu di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SINAR AHAD: Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii sebagai satu kesalahan. Apakah alasan penghakiman tersebut dan apakah implikasinya?

MUSA: Keputusan pada 25 Februari baru-baru ini berkenaan satu permohonan yang dibuat oleh seorang individu, Iki Putra Mubarak di Mahkamah Persekutuan yang mencabar kesahan peruntukan Seksyen 28, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor sama ada peruntukan yang ada itu bertentangan dengan Perlembagaan atau tidak.

Pada asalnya, Iki Putra adalah antara 11 orang yang ditahan di bawah kesalahan persetubuhan bertentangan dengan tabii dan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Daripada 11 orang, lima orang telah membuat pengakuan bersalah. Cuma dia salah seorang yang membawa isu itu ke Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan dari segi bidang kuasa mengadakan undang-undang kesalahan persetubuhan di luar tabii atau liwat.

Keputusan di Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Seksyen 28 dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor tidak berpelembagaan.

Alasannya disebabkan telah ada satu peruntukan yang lebih kurang sama iaitu Seksyen 377 A, B, C, D, E Kanun Keseksaan. Maksudnya telah ada dua peruntukan yang sama bagi kes tersebut.

Dalam undang-undang yang sudah dibuat oleh Parlimen, kerajaan negeri atau badan perundangan negeri, tidak boleh menggubal undang-undang yang sama atau lebih kurang sama.

Sebenarnya keputusan ini seperti ‘kesan domino’. Maksudnya ia bukan sahaja memberi kesan kepada peruntukan lain dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor, tetapi akan melibatkan seluruh negeri lain yang mempunyai peruntukan sama.

Berdasarkan keputusan ini, peruntukan-peruntukan itu boleh menjadi tidak sah. Maksudnya boleh dibatalkan atau tidak sah jika dicabar. Di sini kita melihat satu tindakan yang proaktif perlu dibuat oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Tindakan proaktif itu seperti apa?

Cadangan yang kita terima ada tiga. Pertama, melihat semula peruntukan yang ada dalam enakmen jenayah syariah negeri. Ini disebabkan enakmen ini telah lama. Di Selangor, enakmen ini sejak 1995 manakala di Wilayah Persekutuan sejak 1997.

Terbaru di Pahang pada tahun 2013. Walaupun enakmen ini dibuat tahun 2013, tetapi peruntukan yang diambil adalah peruntukan lama pada 1995. Undang-undang yang ada itu telah 20 tahun. Perlu ada tindakan untuk menyemak semula mana yang perlu ditambah, dibuang dan dipinda.

Kedua, ada cadangan supaya dibuat pindaan Butiran 1 Senarai 2 iaitu senarai negeri. Maksudnya, peruntukan berkaitan kesalahan-kesalahan ajaran Islam perlu diperincikan oleh negeri.

Bagaimanapun, apabila melibatkan pindaan Perlembagaan, ia akan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen. Itu satu cabaran yang besar kerana sukar hendak mendapatkan majoriti tersebut dalam keadaan politik yang tidak kukuh sekarang.

Ketiga, ada cadangan supaya mengislamisasikan Kanun Keseksaan. Maksudnya, supaya kesalahan peruntukan yang ada dalam Kanun Keseksaan itu diambil inti pati atau roh Islam untuk dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan. Contohnya, kesalahan meliwat dan membunuh mungkin boleh diserapkan.

Dari segi dasar, cadangan untuk menyeragamkan atau mengharmonikan undang-undang syariah ini sepatutnya datang daripada Menteri Agama dan turun kepada Jabatan Kemajian Islam Malaysia (Jakim).

Jakim pula akan ada jawatankuasa teknikal, syarak dan sivil yang akan berbincang untuk melihat di mana undang-undang yang perlu ditambah dan dipinda. Kemudian, cadangan itu akan dibawa ke Peguam Negara serta dipanjangkan ke negeri-negeri.

Selain seks luar tabii, apakah jenis jenayah syariah yang telah digubal di negeri-negeri?

Enakmen jenayah syariah negeri ini lebih kurang sahaja. Secara dasarnya, ada satu peruntukan berhubung kesalahan akidah. Contohnya, pujaan salah seperti memuja pokok, memuja bangunan atau seseorang itu mendakwa dia bukan Islam bagi mengelakkan dirinya daripada tindakan menyebarkan doktrin palsu atau ajaran sesat.

Yang kedua ialah kesalahan berhubung kesucian agama dan institusi. Contohnya, mempersenda al-Quran, hadis, memijak al-Quran, menghina agama Islam atau kesalahan melanggar fatwa.

Contohnya, kes Hizbut Tahrir dan Rasul Melayu yang menghina Islam dan melanggar fatwa. Ada juga kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Ada satu lagi iaitu kesalahan kesusilaan seperti sumbang mahram, pelacuran dan muncikari (bapa ayam). Muncikari ini juga satu isu kerana ada undang-undang lain di peringkat Persekutuan. Dalam Kanun Keseksaan ada dan dalam enakmen jenayah syariah juga ada. Ini perlu dilihat semula.

(Selain itu) persetubuhan luar nikah, hubungan sejenis antara antara sesama jantina, khalwat, kes seperti Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat iaitu seorang lelaki berlagak seperti perempuan.

Dalam kontroversi kes Sajat, apakah sebenarnya yang berlaku?

Sajat mungkin boleh didakwa di bawah kesalahan lelaki berpakaian wanita atau tuduhan menghina agama. Itu bergantung kepada pihak pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Cuma kesalahan yang akan didakwa itu, pihak JAIS dan pendakwa syarie perlu melihat sama ada kesalahan itu telah ada atau tidak dalam undang-undang Persekutuan. Kalau ada, ia mungkin akan dicabar. Jadi perlu berhati-hati.

Drama penangkapan Sajat dan kontroversi yang dicetuskan olehnya telah menyebabkan institusi agama seperti JAIS dipandang lekeh kerana gagal menangani kes seorang individu seperti Sajat. Apa komen tuan?

Secara peribadi saya melihat Sajat ini seorang ahli perniagaan. Dia berniaga emas dan produk kecantikan. Dia cantik dan berjaya menarik orang ramai untuk mengikuti Instagram dan media sosialnya bagi tujuan promosi.

Dari satu segi, saya juga melihat institusi agama termasuklah menteri atau timbalan menteri memberi kenyataan seolah-olah sebuah institusi sedang berlawan dengan seorang individu.

Kalau nak tangkap, tangkap sahaja, apa masalahnya? Bukan susah nak tangkap. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini, dia (Sajat) bukannya boleh lari pergi ke luar negeri.

Dari satu segi lain, apabila kita memanggil Nur Sajat seolah-olah kita mengiktiraf dia sebagai perempuan. Nama dia Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, tapi kita panggil dia Nur Sajat. Itu seolah-olah kita mengiktiraf dia sebagai perempuan. Kita juga secara tidak langsung mempopularkan dirinya.

Apabila semua daripada institusi agama ini mahu memberi komen, keadaan itu menambahkan popularitinya. Itu bagus untuknya kerana dia memang menjual produk dan barang-barang.

Bagi saya, institusi agama perlu tegas. Banyak isu lain yang lebih besar perlu difokuskan berbanding dengan Sajat ini.

Pada masa yang sama, saya setuju (isu Sajat) sebenarnya menampakkan institusi agama ini hanya fokus kepada seorang individu dan kita kelihatan mengetepikan isu-isu besar yang lain seperti keputusan Mahkamah Persekutuan tadi. Tidak ramai orang komen atau komen yang diberikan lambat.

Pada pandangan tuan, adakah saluran undang-undang adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu Sajat ini atau ada cara lain?

Sebenarnya, apabila berlaku kesalahan, pihak berkuasa agama akan memanggil pesalah itu untuk hadir memberi keterangan. Jika tidak hadir, pihak penguat kuasa agama akan pergi ke mahkamah untuk memohon waran tangkap.

Di peringkat ini, sebelum didakwa, kita ada satu alternatif lain iaitu sama ada pesalah ini dihantar ke mana-mana tempat untuk mendapatkan kaunseling dan sebagainya.

Kalau didakwa di mahkamah, tidak semestinya dia akan disabitkan dengan kesalahan itu ataupun jatuhkan hukuman. Dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah iaitu Seksyen 97 ada apa yang dipanggil sebagai hukuman alternatif.

Ini bermakna, mahkamah tidak sabitkan kesalahan tetapi mahkamah arahkan tertuduh menjalani satu tempoh pemulihan yang tidak melebihi enam bulan di mana-mana institusi pemulihan.

Itu antara cara boleh dibuat. Sajat tidak perlu risau sebab dia tidak semestinya disabitkan dan dihukum. Dia juga mempunyai hak untuk membela dirinya.

Tapi membela diri itu bukan di media sosial, sebaliknya di mahkamah. Kalau betul dia di pihak yang benar, berilah kerjasama dan keterangan kepada penguat kuasa. Sebab itu saya kata ada pihak yang memanipulasi perkara ini dan mengambil kesempatan untuk mempopularkan dirinya.

Dari satu segi juga, berlakunya perlawanan antara institusi agama dan Sajat, dan kita nampak seolah-olah Islam itu jahat sangat. Asyik mengacau dia seorang.

Itu bukan cara Islam yang berhikmah. Kalau sudah keluar waran tangkap, senyap-senyap cukup. Keluar waran tangkap, risik dia dekat mana dan tangkap sebelum bawa ke mahkamah. Ini kita heboh. Bila heboh keluar waran tangkap, Sajat akan membalas semula kerana dia mempunyai follower yang ramai.

Baru-baru ini Sinar Harian mendedahkan isu scam poligami di institusi kehakiman syariah. Pernahkah tuan mengalaminya?

Scam poligami ini satu istilah baharu. Sesetengah pihak mungkin mereka guna istilah ini untuk memberi fokus kepada apa yang berlaku di mahkamah syariah. Boleh jadi juga mereka yang terlibat sebenarnya terdiri daripada institusi mahkamah itu sendiri.

Poligami ini sebenarnya sesuatu yang orang nak buat tapi dia tidak ada kekuatan. Mungkin dia mampu tapi tak ada kekuatan untuk memberitahu isteri pertama. Bukan isu takut bini. Tapi dia tidak mahu menyakiti hati isteri dengan menyatakan dia nak berpoligami.

Undang-undang kata kalau nak berpoligami kena mohon di mahkamah syariah. Sama ada isteri setuju ataupun tidak, itu bukan isunya.

Yang jadi masalah di sini ialah suami tidak mahu kemukakan permohonan di mahkamah. Maka sebab itulah berlakunya poligami secara sindiket ataupun scammer.

Antara proses yang sering dilakukan oleh pihak yang ingin berpoligami tanpa kebenaran termasuklah mengaku dirinya bujang. Dia buat ikrar bahawa dia masih lagi bujang sedangkan sudah ada isteri.

Keduanya, dia buat akuan palsu mengenai sumber pendapatannya dan menyatakan dia mampu menampung lebih daripada seorang isteri.

Ketiga, mungkin dia buat akuan palsu mengenai tempat tinggal. Dia tahu negeri mana yang senang nak bernikah, jadi dia pergi ke negeri berkenaan dan minta mana-mana pihak keluarkan surat pengesahan bermastautin.

Di Perlis contohnya, syarat untuk dapatkan pengesahan bermastautin daripada pegawai masjid atau pengerusi kariah ialah menetap lebih dari lima hari di negeri berkenaan. Berbeza pula dengan Selangor, syarat untuk dapatkan pengesahan bermastautin, seseorang itu perlu menetap di negeri tersebut sekurang-kurangnya tiga bulan.

Kes perceraian sepanjang PKP dan pandemik Covid-19 dilaporkan mencatat peningkatan luar biasa. Boleh tuan kongsikan senarionya?

Memang tidak dinafikan bahawa ia mencatatkan peningkatan sedemikian. Salah satu puncanya adalah masalah kewangan. Apabila pihak berkenaan kekurangan pendapatan ataupun tiada pendapatan, ia akan menyebabkan seseorang itu tertekan. Bila tertekan, dia akan mempengaruhi emosi dan juga komunikasi antara suami isteri.

Suami yang stres dan tiada duit, bila berkomunikasi dengan isteri, nada dia akan berubah. Lebih kepada emosi, marah tak bertempat. Ditambah pula dengan kerenah anak-anak. Bila masalah itu dicampur-adukkan, maka ia mengundang ke arah perceraian.

INFO

Musa Awang

Umur: 47 tahun

Asal: Kuala Terengganu

Pendidikan:

Sarjana Muda Syariah (Syariah dan Undang-Undang), Universiti Malaya (1994)

Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan Guaman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1999)

Kerjaya:

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Ahli Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah Negeri Selangor

Ahli Jawatankuasa Induk, Arahan Amalan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)

Sumber: Sinar Harian

Last Updated on December 10, 2021

Kalendar JKSM

Week of Nov 18th

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
November 18, 2024 November 19, 2024 November 20, 2024 November 21, 2024 November 22, 2024 November 23, 2024 November 24, 2024