SAMBUTAN HARI INOVASI JABATAN KEHAKIMAN DAN SYARIAH MALAYSIA TAHUN 2023

PUTRAJAYA| Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 bertempat di Dewan Tan Sri Dato’ Setia Ibrahim bin Lembut, JKSM pada 6 Oktober 2023.

Program ini melibatkan seramai 200 orang pegawai dan kakitangan JKSM, di samping jemputan khusus pegawai dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri.

Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 ini diadakan bertujuan untuk memupuk dan menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan warga JKSM. Di samping itu, ianya merupakan platform untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pasukan atau individu yang berjaya menghasilkan inovasi yang memberikan impak positif kepada jabatan.

Selaras dengan matlamat JKSM tersebut, beberapa acara menarik telah diadakan seperti Sesi Perkongsian Pengalaman Inovasi dan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Pameran Inovasi, Pertandingan Inovasi Menghias Pejabat JKSM dan Pertandingan Kuiz Celik Inovasi. Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 ini disempurnakan oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM.

Menerusi Sambutan Hari Inovasi yang diadakan pada tahun ini, warga JKSM berpeluang untuk mendengar sendiri pengalaman inovasi daripada Kumpulan KIK dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri (JKSN) yang telah melaksanakan projek inovasi dan juga menyertai pertandingan-pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Kumpulan KIK tersebut juga telah mendapat pengiktirafan dan diumumkan sebagai pemenang di dalam pertandingan inovasi tersebut. Di samping itu, Kumpulan KIK daripada JKSN ini juga membawa bahan pameran untuk dipamerkan di ruang yang disediakan untuk tatapan warga JKSM. Di antara JKSN yang hadir menjayakan Pameran Inovasi tersebut adalah JKSN Selangor, MSN Melaka, JKSN Kedah, JKSN Terengganu dan JKSN Negeri Sembilan.

Pertandingan Inovasi Menghias Pejabat JKSM juga mendapat sambutan hangat daripada warga JKSM di mana dalam tempoh kurang dari 1 bulan, setiap bahagian dan unit JKSM telah bertungkus lumus menghias pejabat masing-masing dengan mewujudkan Sudut Inovasi, replika dan arca serta menyediakan info-info yang berkaitan. Penilaian pertandingan tersebut telah dinilai oleh 3 orang hakim yang dilantik dan keputusan pertandingan diumumkan semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi JKSM. Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) telah diumumkan sebagai Johan Pertandingan manakala Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia (BKPSM) sebagai pemenang tempat kedua. Bahagian Sokongan Keluarga dan Unit Integriti pula telah diumumkan sebagai pemenang di tempat ketiga.

Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 ini telah berjaya menyuntik semangat para warga JKSM untuk bergiat aktif dalam menghasilkan idea dan projek inovasi pada masa akan datang bagi membantu menambahbaik penyampaian perkhidmatan JKSM kepada para pelanggan dan stakeholder.

Disediakan oleh:

Urus setia Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023

Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia, JKSM

Last Updated on October 12, 2023

Kalendar JKSM

November 22, 2024