Rundingan undang-undang untuk beku, potong wang bekas suami culas nafkah

KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang berunding dengan Kementerian Kewangan supaya arahan mahkamah syariah berhubung pembayaran nafkah oleh bekas suami boleh dikuatkuasakan mengikut akta berkaitan.

Pada masa ini, perintah mahkamah syariah tidak terikat dengan beberapa akta berkaitan seperti yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini menyebabkan keputusan mahkamah syariah itu tidak membolehkan harta bekas suami dibekukan atau pemotongan wang daripada akaun bank dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata melalui Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah yang ditubuhkan JKSM, peruntukan bagi penguatkuasaan tindakan seperti pembekuan aset dan pemotongan wang KWSP atau bank, diwujudkan, namun tidak dapat dilaksanakan walaupun dipersetujui Kabinet.

“Apabila kita cuba ambil tindakan susulan terhadap pihak lain yang akan terbabit dalam penguatkuasaan ini, kita terpaksa berbincang dengan Kementerian Kewangan kerana dalam akta di bawah BNM, keputusan mahkamah syariah tidak terikat. Begitu juga dengan KWSP.

“Justeru, kami sekarang dalam rundingan intensif dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai bagaimana keputusan mahkamah ini juga terikat dalam akta mereka,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PAS-Kuala Terengganu) yang bertanya mengenai langkah yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkasa mahkamah syariah terutama dalam membela hak wanita dalam isu perkahwinan dan penceraian, di bawah dasar Rahmatan lil Alamin.

Menjawab soalan asal Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar), Mujahid berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai agensi pusat dan rakan strategik lain seperti kerajaan negeri dan agensi agama di bawah menteri sudah dan sedang giat melaksanakan program penerangan, penjelasan dan pembudayaan konsep Rahmah kepada masyarakat.

Katanya, tiga pendekatan yang dilaksanakan adalah penerangan dan penjelasan, pembudayaan serta penyelarasan agensi, membabitkan 14 siri ‘townhall’ dan wacana eksekutif yang diadakan di tujuh negeri dan empat kementerian, selain sesi libat urus bersama kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.

“Sehingga Oktober lalu, sebanyak enam negeri sudah melancarkan Program Rahmah, membabitkan 12,000 peserta dan bakinya akan dilaksanakan pada fasa kedua.

“Selain itu, kerajaan juga melantik 215 pendakwah dan profesional daripada pelbagai bidang sebagai “Duta Rahmah” yang berperanan menyampaikan dasar ini kepada masyarakat di negeri dan daerah seluruh negara.

“Siri jelajah penerangan konsep Rahmah ini juga mula diperluaskan ke kampus dan sebanyak 10 kampus melaksanakan ‘townhall’ Rahmatan lil Alamin bersama mahasiswa mahasiswi,” katanya.

Selain itu katanya, program pembudayaan Rahmah turut diperluaskan melalui video pendek dan secara langsung melalui laman Facebook, dan sehingga kini sebanyak 30 siri video diterbitkan.

Malah, katanya, beliau juga bertemu dengan duta negara Kesatuan Eropah baru-baru ini untuk menjelaskan pendekatan Rahmatan Lil Alamin yang diambil Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Last Updated on December 11, 2021

Kalendar JKSM

Week of Nov 18th

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
November 18, 2024 November 19, 2024 November 20, 2024 November 21, 2024 November 22, 2024 November 23, 2024 November 24, 2024