Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) mahu pihak berkuasa menyiasat dakwaan kewujudan sindiket menawarkan penipuan poligami tanpa perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama.
Difahamkan, pernikahan menggunakan kaedah itu membabitkan ahli korporat, orang kenamaan dan selebriti tempatan yang dikesan aktif sejak lebih setahun lalu.
Presidennya Che Hassan Che Johan berkata, pihaknya menerima aduan tidak rasmi daripada pihak tertentu berkaitan penipuan poligami di negara ini.
Katanya, hasil maklumat itu, ia didalangi golongan profesional termasuk pengamal undang-undang dan individu berpengaruh yang mengaturkan pernikahan golongan kenamaan tanpa kebenaran isteri pertama.
“Ia hanya akan diketahui selepas isteri ini dihubungi mahkamah atau dimaklumkan pihak ketiga mengenai pernikahan itu.
“Kesannya ia boleh merosakkan rumah tangga yang sudah lama dibina. Apa yang lebih penting ialah bagaimana sindiket ini menyalahgunakan kuasa dimiliki mereka untuk membolehkan seseorang itu berkahwin lain tanpa kebenaran isteri pertama,” katanya kepada Harian Metro.
Che Hassan berkata, beliau akan merujuk isu berkenaan kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, ia bagi merungkai persoalan bagaimana dokumen seperti MyKad boleh dimanipulasi bagi tujuan berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mendedahkan ada kemungkinan wujud kegiatan itu yang turut membabitkan ‘orang dalam.’
Katanya, ia dipercayai berlaku di Terengganu, Perlis dan Kuala Lumpur.
Tak tahu suami kahwin dengan selebriti
Kuala Lumpur: Hancur luluh hati seorang isteri selepas mendapat tahu dirinya dimadu apabila suaminya melangsungkan perkahwinan baharu dengan seorang selebriti tanpa pengetahuannya.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Rohaya, 50, berkata rahsia disimpan suaminya mula dihidu apabila dia mendengar pelbagai khabar angin lalu mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
Menurutnya, dia kemudian membuat semakan di mahkamah dan mengambil nota bicara sebelum mendapati pernikahan baharu lelaki itu dilakukan tanpa diketahuinya.
Katanya, suaminya yang juga tokoh korporat dan ahli politik tidak pernah memaklumkan mengenai hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan selebriti itu mahupun orang lain.
“Rumah tangga yang kami bina selama lebih 18 tahun lalu bahagia dan turut dikurniakan empat orang anak.
“Saya memang terkejut ketika hadir ke mahkamah di sebuah negeri di pantai timur. Apabila melihat nota bicara kerana suami berkahwin lain, saya terdiam, tak tahu nak kata apa.
“Pada dokumen itu tertera satu alamat baharu yang digunakan suami. Sebelum ini alamat pada kad pengenalannya adalah di sebuah negeri di selatan tanah air dan ia menimbulkan persoalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Rohaya berkata, dia kemudian membuat carian dan semakan alamat berkenaan namun ia hanya sebuah tanah kosong dan bukan kediaman.
Katanya, keadaan itu menyebabkan anak-anaknya turut tertekan dan malu dengan sikap bapa mereka yang didakwa membelakangkan keluarga kerana perkahwinan baharu itu.
“Ahli keluarga juga ada melihat video majlis perkahwinan mereka pada Oktober lalu yang penuh meriah. Mereka kecewa kerana ia berlaku kepada orang yang paling mereka sayang,” katanya.
Menurutnya, dia akan membuat aduan kepada pihak berkuasa agama dan polis bagi menyiasat bagaimana perkara itu boleh berlaku.
Katanya, laporan itu akan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud unsur pakatan atau gerakan terancang yang membolehkan pernikahan itu dilangsungkan tanpa kebenaran atau di luar pengetahuan isteri pertama.
“Saya bukan tidak boleh terima (dimadu). (Namun) hati saya hancur, jika saya sebagai isteri pertama tidak mengetahui langsung akan permohonan poligami itu, ia menimbulkan pertanyaan.
“Hari ini saya, esok lusa mungkin orang lain pula. Saya mahu berikan kesedaran bahawa sesiapa saja boleh ditipu, ia memusnahkan kebahagiaan sesebuah keluarga,” katanya.
Pemalsuan, manipulasi dalam berpoligami bunuh sistem kekeluargaan
Kuala Lumpur: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang bentuk penyelewengan kuasa yang boleh menyebabkan penindasan berlaku kepada pasangan berkahwin.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Na’im Mokhtar berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan wujud sindiket berdasarkan maklumat diterima sebelum ini.
“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
“Dalam isu poligami tanpa kebenaran, tidak ada yang boleh terlepas jika melakukan kesalahan berkaitan,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pemalsuan poligami perlu membuat laporan terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
Ia termasuk aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dibuat jika wujud unsur pelanggaran integriti di sebalik ‘kelulusan’ pernikahan khususnya membabitkan golongan tertentu.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kewujudan sebarang bentuk pemalsuan atau manipulasi di dalam poligami akan membunuh sistem kekeluargaan.
Menurutnya, ini kerana maksud pensyariatan sebenar sudah dilupuskan dengan sengaja untuk tujuan peribadi semata-mata.
Katanya, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam diwujudkan bagi membela serta menjaga hak wanita dan anak dalam sesebuah rumah tangga.
“Kalau berlaku demikian, ia akan gagal, oleh itu akan meninggalkan pengalaman ngeri kepada isteri dan anak apabila sistem, komponen serta keadilan Islam ke atas mereka tidak diurus dengan bertanggungjawab dan berintegriti.
“Jika benar ada ‘ulat’ yang menjalankan kegiatan ini, mekanisme proses dan kawalan proses baharu perlu dibuat serta dikuatkuasakan agar mereka ini tidak boleh menjalankan aktivitinya.
“Tutup semua ruang yang membolehkan mereka ini mencari makan dan merosakkan sistem,” katanya.
Menurutnya, isu berkenaan memberi cabaran masa depan kepada pihak berkuasa agama kerana ia membabitkan masalah perceraian, permusuhan dua keluarga besar dan masalah anak dan isu remaja.
Katanya, bagi mengatasi isu terbabit, semua komponen sewajarnya dijaga supaya dapat memelihara persekitaran dan sistem sedia ada.
“Isu membabitkan sindiket pernikahan sebegini sebelum ini memang berlaku. Cuma dakwaan turut membabitkan peguam serta hakim adalah isu baharu dan perlu disiasat,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Last Updated on December 11, 2021