Penerangan Kes Mal

Istilah ‘mal’ sebenarnya merujuk kepada harta tetapi dalam konteks perundangan, ia merujuk kepada kes-kes bukan jenayah. Bidang kuasa mal bagi Mahkamah Syariah terpakai kepada semua orang Islam yang tinggal pemastautin negeri-negeri. Dan sebenarnya, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mal yang hampir menyeluruh dan merangkumi banyak aspek kekeluargaan Islam:

Berkaitan dengan isu-isu sebelum perkahwinan.
Seperti putus tunang, permohonan kebenaran untuk berkahwin dan permohonan untuk berpoligami.
 
Berkaitan dengan persoalan semasa perkahwinan.
Seperti permohonan mengesahkan perkahwinan, permohonan membatalkan perkahwinan yang tidak sah, permohonan nafkah diri, nafkah anak, mensabitkan isteri nusyuz, permohonan isteri supaya suami hidup bersama semula dan sebagainya.

Berkaitan dengan persoalan pembubaran perkahwinan.
Permohonan cerai khulu’,li’an, fasakh, talak, ta’liq, perceraian dengan perintah, kerana murtad dan juga secara anggapan mati.
 
Sebarang permohonan di dalam sesuatu kes sedang berjalan (interlocutory order)
Contohnya, permohonan sementara nafkah sama ada diri dan anak, hadanah, perintah larangan terhadap harta dan gangguan.
Bagi perkara ini, bukanlah sesuatu yang luar biasa satu-satu kes perbicaraan mengambil masa yang lama, kerana terlalu banyak isu yang perlu diselesaikan. Dalam sepanjang tempoh berkenaan, banyak perkara yang timbul yang perlu diselesaikan oleh pihak mahkamah. Sekiranya tidak diselesaikan, akan menyebabkan ketidakadilan dan aniaya kepada pihak-pihak yang terlibat. Oleh yang demikian, undang-undang memberikan ruang supaya pihak-pihak yang terlibat ketika menanti keputusan yang jelas dari pihak mahkamah dibenarkan untuk membuat permohonan sementara, sementara perbicaraan dijalankan. Umpamanya, adalah sangat wajar bagi seorang wanita memohon larangan (injunksi) terhadap bekas suaminya untuk tidak mengganggunya. Begitu juga memohon perintah larangan agar harta yang dimiliki secara bersama tidak dibenarkan untuk dilibatkan dalam sebarang urusan.
 
Isu-isu yang berbangkit selepas perceraian.
Perkara-perkara ini boleh dirujuk di mahkamah yang ada bidang kuasanya, iaitu selepas perceraian berlaku. Umpamanya, sagu hati (mutaah) selepas perceraian, harta sepencarian, nafkah iddah, nafkah anak, nafkah tertunggak dan juga soal hadanah (penjagaan anak).

Permohonan-permohonan mengenai wasiat, wakaf dan harta pusaka.
 
Permohonan penguatkuasaan perintah mahkamah.
Ini berlaku apabila keputusan yang dikeluarkan tidak diikuti oleh pihak yang kena tanggungan. Maka, pihak-pihak yang satu lagi boleh menuntut supaya perintah-perintah yang dikeluarkan itu dikuatkuasakan oleh pihak mahkamah.

Last Updated on January 26, 2022

Kalendar JKSM

November 25, 2024