Pegawai syariah wanita diseru cipta inovasi dalam penyampaian perkhidmatan

MOHD. NA’IM MOKHTAR

PUTRAJAYA:  Pegawai-pegawai syariah wanita di negara ini dan rantau Nusantara diseru sentiasa berusaha mencipta inovasi dalam proses penyampaian perkhidmatan dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar ketika berucap merasmikan Seminar Perundangan dan Kehakiman Syariah Wanita Nusantara 2021 berkata, program itu juga dijangka dapat membuka ruang kepada pegawai wanita untuk meneroka peranan dan berkongsi cabaran sepanjang keterlibatan dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah.

“Objektif seminar juga meneliti prospek kerjaya pegawai wanita dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah selain mengupas isu-isu semasa melibatkan wanita dan kanak-kanak serta menilai kembali undang-undang serta peraturan yang diaplikasikan bagi isu-isu terbabit,” katanya.

Seminar secara dalam talian itu bertemakan Wanita: Isu-Isu Semasa Perundangan Dan Kehakiman Syariah dan julung kali diadakan sejak dua dekad penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). 

Seramai 373 peserta terlibat dalam seminar itu terdiri daripada pegawai syariah, penolong pegawai syariah dan pembantu syariah di seluruh negara selain turut disertai pegawai wanita dari Indonesia, Brunei, Singapura dan Maldives. 

Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah JKSM turut mengajak semua peserta seminar menelurusi sejarah Islam, pengiktirafan tertinggi dan solidariti yang diberikan kepada golongan wanita.

Pada seminar berkenaan, dua sesi pembentangan kertas kerja  berkaitan tajuk Peranan Dan Cabaran Pegawai Perundangan Dan Kehakiman Syariah Wanita Dalam Sistem Kehakiman Dan Perundangan Berdasarkan Pengalaman Negeri Serantau dibentangkan.- UTUSAN ONLINE 

Sumber: Utusan

Last Updated on December 10, 2021

Kalendar JKSM

September 30, 2024