[language-switcher]

Glosari Mahkamah

0-9
A
Aduan
Pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tidak diketahui telah melakukan atau bersalah atas sesuatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim.
Afidavit
Kenyataan bertulis atas nama seorang yang bersumpah dan menandatangani kenyataan-kenyataan tersebut dan orang itu mesti berupaya membuktikan kenyataan-kenyataannya di mahkamah.
Ahli Kariah
Seseorang yang tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kariah masjid.
Akuan
Pernyataan formal di Mahkamah oleh atau bagi pihak seseorang yang dituduh sebagai tindak balas kepada dakwaan yang dibuat terhadapnya.
Anak Sah taraf
Anak yang lahir hasil daripada perkahwinan yang sah menurut hukum syarak.
Anak Tak Sah Taraf
Anak yang lahir hasil daripada perkahwinan yang tidak sah menurut hukum syarak.
Anggapan Kematian
Keadaan di mana tiada terdapat berita dan nafi perkhabaran mengenai kematian atau hidupnya seseorang suami atau isteri yang telah hilang sekurang-kurangnya melebihi 4 tahun.
Arahan Amalan
Suatu dokumen bertulis yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkaitan dengan prosedur atau polisi yang mana ia perlu diikuti dan dipatuhi oleh mahkamah-mahkamah syariah.
B
Bailif
Pendaftar atau mana-mana kerani atau pegawai Mahkamah yang dipertanggungkan bagi melaksanakan apa-apa perintah mahkamah.
Bersalah
Pensabitan oleh Mahkamah terhadap orang yang dituduh yang telah melakukan kesalahan.
Bidang Kuasa
Kuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes atau membuat sesuatu arahan.
C
Cerai
Pembubaran sesuatu ikatan perkahwinan yang dilangsungkan mengikut hukum syarak.
D
Dakwa
Aduan (tuntutan dan tuduhan) yang dikemukakan di mahkamah.
Dashboard BI
Papan pemuka bagi pengaplikasian teknik dan alat untuk mentransformasi data mentah menjadi informasi yang berguna.
Defendan
Pihak yang dituntut bagi kes sivil dan mal di mahkamah.
E
Eksibit
Satu bukti fizikal atau dokumen yang dikemukakan di Mahkamah semasa perbicaraan melalui saksi atau afidavit bagi menyokong keterangan lisan atau bertulis.
Enakmen
Undang-undang bertulis yang digubal dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.
Ex parte
Satu permohonan yang dibuat oleh pemohon kepada mahkamah bagi mendengar kes tanpa kehadiran pihak responden.
F
Faraid
Ilmu pengetahuan atau hukum tentang pembahagian harta pusaka mengikut hukum syarak yang menetapkan bahagian-bahagian tertentu kepada ahli waris.
G
Gemulah
Si mati atau orang yang telah meninggal dunia.
H
Hak
Sebarang pemilikan atau kepentingan diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang dan hukum syarak.
Hari Kehadiran
Hari yang ditetapkan dalam mana-mana saman atau prosiding lain bagi kehadiran defendan atau mana-mana hari lain yang ditetapkan untuk pendengaran apa-apa prosiding itu.
Harta
Sebarang benda yang boleh dimiliki merangkumi harta alih dan harta tak alih.
Hiwalah
Pemindahan hutang dari tanggungan seseorang yang berhutang kepada orang lain, yang mana orang lain itu mempunyai hutang pula kepada yang memindahkan.

Misalnya: A mempunyai sejumlah hutang terhadap B. Manakala B pula mempunyai sejumlah harta/wang dalam jagaan C. Oleh kerana B tidak mampu untuk membayar hutang kepada A, maka A boleh menuntut/mendapatkan hutangnya daripada C. A mendapat kembali harta/wang daripada B melalui C adalah dengan proses hiwalah.
Hukum Syarak
Hukum yang berlandaskan syariat Islam iaitu yang berdasarkan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan Qias, dalam mana-mana mazhab yang sah dan muktabar.
Hukuman
Penalti dan hukuman yang dikenakan ke atas seseorang yang sabit kesalahan oleh Mahkamah.
I
Injunksi
Perintah tegahan yang diberikan oleh mahkamah.
Interplider
Tindakan yang perlu dilakukan oleh Bailif atau orang yang bertanggungan apabila dua pihak atau lebih ada membuat tuntutan terhadap wang, barang atau harta alih dalam milikannya.
Inventori
Senarai lengkap aset dan harta alih atau harta tak alih.
Iqrar
Suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.
J
Jaminan
Pembebasan oleh polis atau Mahkamah, seseorang dalam kawalan undang-undang sementara menunggu perbicaraan atau rayuan atas hukuman jenayah.
Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak
Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen 37 Akta Pentadbiran Undang-Undang Wilayah-wilayah Persekutuan.
K
Kes Faraid
Kes yang didaftarkan untuk penyelesaian masalah pembahagian harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati setelah berlaku kematiannya.
Kes Jenayah
Kes yang didaftarkan bagi kesalahan yang boleh dihukum dengan penghukuman tertentu berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah.
Kes Mal
Kes yang didaftarkan berhubung isu-isu kekeluargaan dan harta.
Kes Rayuan
Kes-kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah oleh pihak yang terkilan dengan keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah bicara.
Kes Syariah
Kes yang dibicarakan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Kesalahan
Apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam dan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa.
Kesalahan Boleh Tangkap
Sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran.
Kesalahan Tak Boleh Tangkap
Suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis tidak boleh menangkap tanpa waran.
Keterangan Lisan
Segala penyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah dibuat dihadapannya oleh saksi berhubung dengan fakta-fakta yang disiasat.
Klien
Seseorang yang mengambil khidmat peguam syarie bagi mewakili dirinya untuk menjalankan tugas undang-undang bagi pihaknya dan pihak orang lain.
Kontrak
Satu perjanjian yang diikat menerusi undang-undang.
L
Li’an
Sesuatu pengataan yang dibuat oleh seseorang lelaki dengan bersumpah li’an mengikut Hukum Syarak bahawa isterinya telah melakukan zina tanpa empat orang saksi.
Lien
Suatu hak atas harta seseorang penghutang penghakiman setakat jumlah hutang yang dihutangkan.
Litigan
Seseorang yang merupakan satu pihak kepada satu tindakan Mahkamah.
Litigasi
Tindakan undang-undang yang diambil oleh seorang litigan.
Liwat
Perhubungan seks diluar tabi’e sesama lelaki.

(Rujukan Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997)
M
Mahkamah Syariah
Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan yang ditubuhkan di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah.
Mal
Merujuk kepada harta tetapi dalam konteks perundangan syariah, ia merujuk kepada kes-kes bukan jenayah.
Mualaf
Seseorang yang baru memeluk agama Islam.
Mufti
Orang yang dilantik oleh YDPA atau Sultan atau Raja bagi membantu dan menasihati Baginda dalam hal ehwal agama Islam di negeri-negeri.
Muhal ‘alaih
Pihak yang berkewajipan membayar hutang kepada Penghutang Penghakiman.
Muncikari
Seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Hukum Syara’ dan undang-undang.
Musahaqah
Perhubungan seks sesama perempuan.
MySMS
MySMS adalah inisiatif kerajaan Malaysia untuk membolehkan orang ramai melakukan interaksi yang mudah, ringkas dan segera dengan pelbagai agensi Kerajaan menerusi kod ringkas 15888 yang unik.
N
Nafkah
Keperluan-keperluan asasi bagi seseorang merangkumi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan perkhidmatan seperti pendidikan, perubatan, peribadatan dan sebagainya.
Nazr
Mewajibkan ke atas diri sendiri melakukan perbuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditentukan oleh hukum syara’.
Niat
Hasrat atau tujuan seseorang untuk melakukan sesuatu.
O
Ordinan
Undang-undang yang dilulus oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak atau dilulus oleh parlimen sebelum Malaysia merdeka.
P
Peguam Syarie
Seseorang berkelayakan yang diterima sebagai peguam syarie di bawah peruntukkan undang-undang di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah dan ia termasuklah mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen 3 (2) Akta Bantuan Guaman 1971.
Pemiutang Penghakiman
Orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman terhadap penghutang penghakiman.
Pendaftar
Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah mengikut mana-mana berkenaan yang dilantik di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah.
Pendakwa syarie
Orang yang memulakan prosiding jenayah di mahkamah syariah dan ia dilantik oleh Ketua Pendakwa Syarie di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah.
Penghakiman
Keputusan yang dibuat oleh seseorang hakim bagi kes-kes yang dibicarakan di mahkamah samada melalui perbicaraan atau penyelesaian bersama.
Penghutang Penghakiman
Orang yang bertanggungan di bawah mana-mana penghakiman bagi pembayaran wang.
Penjaga
Seseorang yang diberi tanggungjawab untuk menjaga seseorang yang belum dewasa atau tidak berkeupayaan.
Pentadbir
Pegawai yang bertanggungjawab mengelola dan mentadbir Sistem e-Syariah Versi 3. Boleh dikenali juga sebagai System Administrator.
Perbicaraan
Pendengaran kes mal atau jenayah di Mahkamah di hadapan hakim.
Perintah
Arahan atau Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
Perjanjian Lisan
Kontrak yang dibuat secara lisan.
Permohonan Interlokutori
Suatu permohonan bagi mendapatkan apa-apa perintah yang dipohon ketika berlangsungnya prosiding perbicaraan.
Plaintif
Pihak menuntut atau pengadu yang memulakan tuntutan di mahkamah.
Pliding
Pernyataan bertulis secara formal tentang sebab sesuatu tindakan atau pembelaan yang dikemukakan oleh plaintif dan defendan dalam sesuatu tuntutan mahkamah.
Poligami
Perkahwinan melebihi dari seorang isteri.
Q
Qazaf
Perbuatan menuduh seseorang berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil.
R
Rayuan Interlokutori
Rayuan bantahan terhadap arahan yang dibuat ketika peringkat interlokutori (di peringkat pra-perbicaraan) litigasi.
Relief
Jenis-jenis faedah atau manfaat undang-undang yang boleh diperintahkan oleh mahkamah kepada pihak-pihak di dalam sesuatu kes seperti injuksi, pemulangan harta atau penyerahan hak milik harta.
Repositori
Satu tempat penyimpanan berpusat yang mana semua rekod, fail dan data di simpan.
Responden
Orang atau pihak yang didakwa dalam aduan atau rayuan yang dikemukakan ke mahkamah.
Rumah Diluluskan
Mana-mana tempat atau institusi yang ditetapkan sebagai pusat pemulihan dibawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah.
S
Saman
Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah kepada pihak-pihak yang dinamakan supaya hadir di Mahkamah pada waktu dan tempat yang telah ditetapkan.
Sistem Pendaftaran Peguam Syarie (SPPS)
Sistem untuk mendaftar permohonan baru atau memperbaharui Sijil Amalan Peguam Syarie. Satu pangkalan data yang mengandungi maklumat terkini pengamal-pengamal perundangan Syariah akan disimpan bagi tujuan penyelarasan dan pemantauan oleh pihak yang berkuasa.
Sita
Perihal mengambil, menahan atau merampas barang-barang dengan perintah mahkamah oleh pegawai mahkamah (bailif).
Subversion
Subversion adalah aplikasi untuk mengawal versi dokumen (version control system), yang dapat menjadi medium kolaborasi projek serta mengelola dokumen projek beserta segala perubahan yang terjadi atas dokumen tersebut.
Sulh
Suatu proses penyelesaian alternatif antara pihak-pihak di mahkamah syariah melalui persetujuan/perjanjian.
Sumbang Mahram
Persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang dilarang mengahwini satu sama lain di bawah Hukum Syarak.
Sumpah
Suatu lafaz yang digunakan untuk menyatakan (mensabitkan) haknya terhadap sesuatu perkara atau menafikan sesuatu perkara dengan menyebut nama Allah S.W.T atau sifat-sifatNya.
T
Takfir
Mengatakan atau mentohmahkan dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis bahawa seseorang yang beragama Islam sebagai bukan Islam.
U
V
Virus komputer
Virus komputer merupakan program komputer yang berupaya menyalin dirinya sendiri dan menjangkiti komputer tanpa kebenaran ataupun pengetahuan pengguna.
W
Wakaf
Apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jualbeli, pewarisan, hibah dan wasiat disamping mengekalkan sumber fizikalnya (ain).
Wakaf Am
Sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat umum menurut Hukum Syarak.
Wakaf Khas
Sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat khusus menurut Hukum Syarak.
Wali
Seseorang lelaki yang diberikuasa oleh hukum syarak untuk mengahwinkan perempuan samada wali mujbir atau wali bukan mujbir.
Wasiat
Pengakuan seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.
X
Y
Z
Zina
Persetubuhan antara lelaki dan perempuan tanpa nikah.

Kalendar JKSM

November 26, 2024