KURSUS TATACARA PROSIDING PERBICARAAN JENAYAH SYARIAH ANJURAN BAHAGIAN LATIHAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM)

PUTRAJAYA| Usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam memperkasakan modal insan Pegawai Syariah seluruh Malaysia adalah menjadi agenda berterusan melalui penganjuran progam latihan.

Bertempat di Dewan Tan Sri Dato’ Setia Dr Ibrahim Lembut, JKSM, satu Kursus Tatacara Prosiding Perbicaraan Jenayah Syariah anjuran Bahagian Latihan JKSM telah diadakan bermula pada 12 Julai 2023 hingga 14 Julai 2023 yang menyasarkan peserta terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah seluruh Malaysia dan Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri.

Terdapat tiga objektif program yang digariskan oleh pihak penganjur iaitu bagi mengukuhkan pemahaman para peserta mengenai tatacara prosiding perbicaraan jenayah syariah, memberikan pendedahan berhubung dengan tatacara sebatan syariah melalui demonstrasi sebatan syariah dan membolehkan peserta bertukar-tukar pendapat serta berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai bidang tugas masing-masing.

Bahagian Latihan beriltizam menjadikan kursus ini sebagai platform kepada peserta memahami undang-undang jenayah syariah dalam kerangka tatacara bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang praktik keadilan dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk memiliki pemahaman tentang konteks tatacara tersebut beroperasi, tentang bagaimana prosedur jenayah syariah berinteraksi dengan prinsip undang-undang substantif dan undang-undang keretangan.

YAA Dato’ Haji Mohd Haji Amran Bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dalam ucapannya di hadapan kira-kira 46 orang peserta program memulakan ucapannya dengan memetik potongan ayat al-Quran daripada Surah al-Zariyat, ayat 56, yang antara lain, menekankan kepentingan bekerja sebagai satu ibadah dan atas dasar tersebut, pelaksanaan tugas harian hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.

Selanjutnya, beliau menegaskan kepentingan menguasai bidang tugas dalam konteks kehakiman dan perundangan, lebih-lebih lagi berhubung dengan pengetahuan serta kemahiran terhadap perkara yang perlu diadili sebagai pembuat keputusan di Mahkamah.

Dalam konteks pelaksanaan tugas itu sendiri, beliau menyeru supaya aspek ketekunan dalam penyempurnaan tugas hendaklah dititikberatkan agar hasil kerja sesuai amanah yang dikehendaki.

Selain gesaan menguasai skop tugas, kemahiran ke atas perkara yang ingin diberikan keadilan, dan juga aspek ketekunan, beliau turut mengujarkan tausiahnya dalam aspek disiplin dengan menekankan bahawa penjagaan waktu dan menepatinya adalah dituntut serta hendaklah sentiasa dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Kursus tiga hari ini menampilkan tenaga penceramah pakar dalam bidang berkaitan iaitu YBrs. Tuan Awang Armadajaya bin Awang Mahmud, Peguam Bela & Peguam Cara (Malaya) dan TPP Ramli bin Umar dari Bahagian Keselamatan dan Inteligen, Jabatan Penjara Malaysia.

.

Menarik pada kali ini apabila buat julung-julung kalinya program seumpama ini diadakan slot khas iaitu demonstrasi sebatan syariah dan sivil yang juga dikelolakan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia diketuai oleh TPP Ramli bin Umar serta dibantu oleh pegawai-pegawainya.

YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie pada akhirnya mengharapkan agar semua pihak sentiasa memegang amanah dalam lapangan kehakiman dan perundangan ini dan mendoakan supaya tergolong dalam kalangan pegawai-pegawai yang amanah, berupaya kuat, dan berintegriti.

Beliau menutup ucapannya dengan membacakan sepotong ayat al-Quran daripada Surah al-Qassas ayat 26 yang bermaksud “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah”.

Last Updated on July 24, 2023

Kalendar JKSM

November 25, 2024