KURSUS SIJIL EKSEKUTIF KEMAHIRAN ISTINBAT HUKUM DALAM PENGHAKIMAN SYARIE (KIPSYA) SIRI 3 DAN 4 TAHUN 2023

KUALA LUMPUR| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah merasmikan Majlis Penutup Kursus Sijil Eksekutif Kemahiran Istinbat Hukum dalam Penghakiman Syarie (KIPSYA) Siri 3 dan 4 Tahun 2023.

Kursus ini telah dirangka dengan kerjasama antara JKSM bersama Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bertujuan menyediakan pelapis, rakan rujuk bidang syarak dan tenaga pakar dalam disiplin ilmu kemahiran istinbat hukum dalam penyediaan alasan penghakiman.

Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terlibat dalam siri kali ini. Kursus ini telah dikendalikan oleh Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri, Prof. Madya Dr. Abdul Manan bin Ismail dan Prof. Madya Dr. Mohd Nasir bin Abdul Majid, kesemuanya merupakan tenaga pengajar pakar daripada USIM.

Kursus ini berperanan menjadi platform dan peluang kepada para peserta mendalami ilmu usul fiqh dari segi kaedah dan teknik, memahami konteks dan isu dengan merujuk kepada kaedah-kaedah fiqh (al-Qawaid al-fiqhiyyah) di samping melihat aplikasi penghakiman kes yang diputuskan melalui amalan para sahabat baginda Rasulullah SAW serta para ulama muktabar terdahulu.

YAA Dato’ Ketua Pengarah JKSM dalam ucapannya menzahirkan harapan besar agar keluaran pegawai daripada kursus bersiri ini mampu menyebarluaskan ilmu yang diperoleh melalui penulisan dalam alasan penghakiman dan menghuraikan idea-idea menerusi penulisan artikel agar kefahaman yang diraih bertambah mantap dan mampu dimanfaatkan sebaiknya.

Beliau juga optimis bahawa usahasama persijilan seperti kursus ini dapat diteruskan pada masa akan datang serta dipanjangkan dalam disiplin/bidang lain demi pemantapan ilmu dan perkongsian manfaat di antara institusi kehakiman syariah dan institusi pengajian tinggi.

Disediakan oleh:

Urus setia Bahagian Latihan, JKSM

Last Updated on October 19, 2023

Kalendar JKSM

November 18, 2024