KURSUS PENULISAN ALASAN PENGHAKIMAN BERKESAN (LANJUTAN)

KUALA LUMPUR| Peranan para hakim dalam sistem kehakiman adalah penting, kerana golongan berkenaan telah diamanahkan dengan tanggungjawab menghakimi kes, serta memastikan keadilan disampaikan. Dalam menyampaikan keadilan kepada pihak-pihak, kaedah tradisional dalam penulisan penghakiman telah memainkan peranannya yang tersendiri dalam pendekatan para hakim menulis alasan penghakiman.

Walaubagaimanapun, dalam situasi dinamika sosial dan pertambahan kes-kes yang kompleks, terdapat keperluan yang mendesak untuk para hakim mencarigali kaedah terkini dalam penyediaan alasan penghakiman supaya penghakiman yang disediakan jelas, padat, koheren, dan meyakinkan baik dari sudut pandang hakim itu sendiri mahupun pihak-pihak yang menerima penghakiman.

Selaras dengan semangat tersebut, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui Bahagian Latihan sentiasa komited dalam mencari rumus terkini dalam memberikan sesuatu yang segar dan baharu dalam bentuk menyediakan latihan kepada Hakim-Hakim Mahkamah Syariah supaya ilmu dan kemahiran golongan tersebut sentiasa dipertingkatkan seterusnya menjadi katalis peningkatan martabat Mahkamah Syariah itu sendiri.

Dalam menjayakan hasrat ini, semestinya hal tersebut tidak dapat dilaksanakan secara bersendirian, oleh itu kolaborasi strategik bersama dengan entiti kerajaan yang lain adalah siginifikan dalam membantu institusi kehakiman syariah meningkat dari semasa ke semasa.

Dalam konteks kursus pada kali ini, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui Bahagian Latihan dengan kerjasama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) telah menganjurkan Kursus Penulisan Alasan Penghakiman Berkesan (Lanjutan) pada 9 Oktober 2023 hingga 12 Oktober 2023 (Isnin-Khamis) bertempat di Hotel Dorsett Hartamas, Kuala Lumpur.

Kursus ini telah menggariskan tiga (3) objektif yang ingin dipenuhi iaitu mencapai 5C dalam penulisan penghakiman iaitu CLEAR (jelas), CONCISE (padat), COMPREHENSIVE (menyeluruh), COHERENT (koheren/ aliran dan struktur yang mudah difahami) dan CONVINCING (meyakinkan); melatih serta membangunkan kumpulan penceramah dan fasilitator dalam kalangan Pegawai Syariah; dan membolehkan para peserta bertukar-tukar pendapat serta berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai bidang penulisan alasan penghakiman.

Berucap di hadapan kira-kira 25 orang peserta yang terdiri daripada YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Pegawai Penyelidik Hakim Mahkamah Rayuan, YAA Dato’ Haji Mohd Amran Bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menekankan kepentingan menjaga amanah dan dalam aspek pelaksanaan tugas kehakiman pula, beliau menyeru supaya para hakim hendaklah menghukum dengan adil sepertimana yang difirmankan dalam surah al-Nisa’ ayat ke-58.

Di samping itu juga, YAA Dato’ sempat memberikan penekanan tentang kewajipan melaksanakan perintah setelah penghakiman dikeluarkan dengan memetik kata-kata Saidina Umar melalui Risalah al-Qada’.

Dalam aspek penguasaan metodologi penulisan, beliau menggariskan kepentingan mengadaptasi teknik, struktur dan format paling terkini dalam penyediaan dan penulisan alasan penghakiman.

Di penghujung kalam, YAA Dato’ mendoakan agar para hakim tergolong dalam kalangan mereka yang amanah, berusaha kuat, dan menjunjung nilai-nilai integriti.

Majlis penutupan kursus ini telah disempurnakan oleh

YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Latihan Akademi Kehakiman.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan keterujaan kerjasama dua hala antara pihak Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dalam menjayakan kursus seumpama ini.

Beliau mengatakan bahawa, kedua-dua pihak saling dapat mempelajari antara satu sama lain dan melalui kursus ini juga, pembinaan kumpulan penceramah dan fasilitator dalam kalangan Hakim Mahkamah Syariah yang mengikuti kursus ini dapat diwujudkan untuk melatih pula Hakim-Hakim Mahkamah Syariah yang lain supaya ilmu dan kemahiran yang diterapkan melalui kursus ini dapat disebarluaskan dan dimanfaatkan.

Last Updated on October 17, 2023

Kalendar JKSM

Events in November 2024

  • There are no events scheduled during these dates.