KUALA LUMPUR| Perarakan Sambutan Maulidul Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan pada hari ini 14 Oktober 2023 bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur turut dimeriahkan dengan penyertaan Kontinjen Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Seawal jam 6.00 pagi, seramai 20 orang pegawai dan kakitangan JKSM telah hadir sebagai peserta kontinjen di lokasi program.
Perarakan bermula jam 8.00 pagi dengan mengarak sepanduk sebagai tanda membesarkan peristiwa Maulidul Rasul dan mengalunkan selawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW di sepanjang perarakan berlangsung.
YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie dan YBrs. Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM telah hadir sebagai tetamu kehormat dan turut memberikan sokongan kepada pasukan Kontinjen JKSM.
Perarakan kontinjen turut disertai oleh pelbagai jabatan kerajaan, swasta serta NGO dengan pelbagai kreativiti yang ditonjolkan oleh kontinjen masing-masing.
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 diteruskan dengan acara di dalam Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah dengan ucapan YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), persembahan nasyid, penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1445H / Tahun 2023. Di samping itu, pemenang kontinjen terbaik turut diumumkan di dalam majlis berkenaan.
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/Tahun 2023 berlangsung dengan meriah serta berjaya memberi penghayatan kepada para peserta terhadap perjuangan baginda Nabi Muhammad SAW serta menghargai jasa dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan agama Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam.
Disediakan oleh:
Urus setia Kontinjen Sambutan Maulidur Rasul JKSM 1445H / Tahun 2023
Last Updated on October 17, 2023