Hakim syarie tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

TAN Sri Dr Ibrahim Lembut mengetuai membaca Ikrar Bebas Rasuah dan turut bersama Datuk Dzulkifli Ahamd (kanan) pada majlis Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Islam Putrajaya. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Seramai 19 hakim dan pegawai kanan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), membuktikan komitmen badan itu untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbirannya.

Majlis menandatangani ikrar berkenaan disaksikan Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie JKSM, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Mereka yang menandatangani ikrar berkenaan termasuk empat Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, 14 Ketua Hakim Syarie Negeri dan Ketua Pendaftar JKSM, Mohamad Shakir Abdul Hamid.

Dalam ucapannya, Dzulkifli berkata, IBR adalah inisiatif baharu oleh SPRM yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji oleh kepemimpinan dan kakitangan sesebuah organisasi atas kapasiti individu bagi menghindari rasuah dan salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas.

TAN Sri Dr Ibrahim Lembut menyerahkan Ikrar Bebas Rasuah kepada Datuk Dzulkifli Ahamd pada majlis Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Islam Putrajaya. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Katanya, JKSM adalah badan kehakiman pertama di negara ini yang menandatangani IBR, sekali gus mencerminkan usaha badan itu untuk memperkasa institusi kehakiman syariah di Malaysia supaya lebih teguh dari sudut pentadbiran serta penyampaiannya.

“Pendekatan ini penting dan relevan kerana rakyat sering memerhati, menguji dan menilai perjalanan pentadbiran institusi kehakiman syariah di dalam negara ini serta kemampuannya mendepani isu perundangan yang kontroversi, sambil disulami gelombang pemikiran yang lebih kritis daripada masyarakat.

“Usaha mewujudkan institusi kehakiman syariah yang adil dan berkesan ini adalah penting kerana ia adalah cerminan kepada penghayatan syariat Islam yang mendukung kepada prinsip kedaulatan undang-undang, ” katanya pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Bersama SPRM di sini.

Sumber: Berita Harian

Last Updated on December 11, 2021

Kalendar JKSM

Week of Nov 18th

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
November 18, 2024 November 19, 2024 November 20, 2024 November 21, 2024 November 22, 2024 November 23, 2024 November 24, 2024