‘Doakan saya boleh bertahan’

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: “Doakan saya boleh bertahan untuk besarkan anak. Sejak berpisah tujuh bulan lalu, saya tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu.

“Duit simpanan tidak seberapa habis digunakan. Sepatutnya kes sudah didengar di mahkamah namun tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Muna.

Ibu tunggal berusia 30-an itu buntu memikirkan masa depan anak-anaknya berusia dua hingga lapan tahun selepas menggalas tugas sebagai ibu dan bapa serentak.

Katanya, dia tidak menyangka rumah tangga dibina lebih 10 tahun lalu hancur di tengah jalan dan lebih malang, suaminya sudah berkahwin baharu dan langsung tidak mengambil tahu soal anak.

“Sebelum ini saya nekad besarkan anak dengan wang sendiri. Dengan adanya nafkah, ia serba sedikit membantu saya membiayai persekolahan dan perbelanjaan harian mereka.

“Tetapi saya tidak tahu bila akan dapat nafkah ini. Semakin hari berlalu rasa seperti hilang semangat,” katanya yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di selatan tanah air.

Seorang lagi ibu tunggal mahu dikenali sebagai Rohaya, 30-an, berkata hidupnya bersama tiga anak bertambah sukar apabila tidak menerima nafkah daripada bekas suami.

Menurutnya, keadaan bertambah meruncing apabila terpaksa menjaga anak bongsunya yang juga orang kurang upaya (OKU) dan pada masa sama dia juga hamil anak yang keempat.

Katanya, sejak berpisah dengan suami pada awal tahun ini, dia terpaksa menumpang ihsan ibu bapanya di Kedah kerana tiada wang menyara kehidupan bersama anak selain tiada tempat untuk berlindung.

Sepatutnya perceraian saya sudah didengar di mahkamah, tetapi sampai sekarang saya tidak tahu bagaimana statusnya.

“Tak tahu sampai bila akan hidup begini. Adik-beradik lain juga tinggal bersama dan saya rasa seperti menyusahkan mereka pula,” katanya.

Justeru, dia berharap kesnya dapat didengar dan diputuskan segera untuk memberi keadilan kepada anak-anaknya buat mereka meneruskan kehidupan mendatang.

36,983 kes cerai didaftar sejak PKP

Mereka mungkin tidak mengerti apa-apa kerana masih kecil namun anak-anak berdepan nasib dan masa depan tidak menentu kerana perpisahan ibu bapa mereka.

Ini menyebabkan timbul masalah sosial seperti kemiskinan, ponteng sekolah dan lebih malang lagi ada yang terjerumus ke dalam kancah pelacuran.

Semua berpunca daripada segala urusan berkaitan perceraian dan tuntutan nafkah menjadi semakin sukar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata, berdasarkan statistik pendaftaran kes, ada 201 kes nafkah tertunggak direkodkan di seluruh negara sejak Mac 2020 hingga Mei lalu.

Menurutnya, setakat ini 36,983 kes perceraian didaftar di mahkamah syariah seluruh negara sepanjang tempoh itu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 18,783 kes berjaya diselesaikan iaitu 11,539 kes pada PKP1.0, PKP 2.0 (5,216 kes) dan 2,028 kes dari April 2021 hingga Mei lalu.

“Ia bukanlah isu baru, tetapi nafkah tertunggak ini banyak kesannya. Atas dasar nafkah adalah perkara yang penting maka pengabaiannya memerlukan campur tangan pihak berwajib.

“Justeru, JKSM sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam membantu ibu tunggal dan anak mendapatkan kembali hak mereka terutama pembayaran nafkah daripada bekas suami atau bapa seperti perintah mahkamah,” katanya.

MOHD Naim. FOTO Arkib NSTP

Katanya, ia termasuk menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) pada 2008 bagi membantu menguat kuasa dan melaksana perintah nafkah yang gagal dipatuhi oleh bekas suami atau bapa.

“Kewujudan BSK di mahkamah syariah bagi membantu ibu tunggal dan anak-anak sekiranya bekas suami enggan membayar nafkah dengan menguatkuasakan perintah mahkamah,” katanya.

Mohd Naim berkata, fungsi lain BSK adalah menyediakan pendahuluan nafkah (bersifat revolving fund yang disalurkan kerajaan) dan bantuan nafkah ( disalurkan Majlis Agama Islam Negeri) kepada penghutang penghakiman (isteri atau bekas isteri) tidak berkemampuan (iaitu yang berada di bawah had kifayah) selama enam bulan selepas kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah didaftarkan di mahkamah syariah.

Menurutnya, jumlah pendahuluan nafkah itu seperti dinyatakan dalam perintah nafkah mahkamah syariah.

Katanya, selain pemantauan pematuhan perintah melalui integrasi e-nafkah dan e-syariah, JKSM melalui BSK mengadakan promosi dan kaunter bergerak secara berkala di tempat tumpuan awam bagi memudahkan orang awam mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah dan guaman berkaitan perintah nafkah.

Dalam pada itu, Mohd Naim berkata, dari segi pengabaian, 148 aduan diterima iaitu 78 aduan pada PKP 1.0, 26 aduan pada PKP 2.0 manakala selebihnya pada PKP yang terbaharu.

“Apabila aduan diterima, BSK akan mengeluarkan notis kepada bekas suami atau bapa yang dilaporkan melakukan pengabaian nafkah.

“Tindakan selanjutnya akan dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan garis panduan sedia ada bagi memastikan pembayaran nafkah dilaksanakan.

“Kepada pasangan suami isteri berdepan situasi ini atau dalam proses penceraian, saya nasihatkan walau apapun keadaan dan sekiranya penceraian jalan terbaik, kebajikan anak terutama nafkah perlu diutama bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Last Updated on December 10, 2021

Kalendar JKSM

November 25, 2024