Banyak kes scam poligami babit suami umur 40 tahun ke atas

Scam poligami sudah lama berlaku di negara ini.

SCAM poligami yang dibongkarkan oleh Sinar Harian sejak minggu hari lalu membuktikan individu yang terlibat dalam scam berkenaan licik menyalahgunakan kuasa dan prosedur permohonan sehingga mampu memperdayakan pihak mahkamah.

Bagi Pejabat Agama Kota Setar, Kedah mereka saban tahun turut menerima kes pasangan yang terlibat dengan scam poligami ini terutamanya melibatan sindiket poligami.

Ikuti temubual eksklusif wartawan Sinar Harian, Roshila Murni Rosli bersama Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Ahmad Faisol Omar.

Sinar Harian: Adakah kes scam atau penipuan dokumen poligami seperti yang didedahkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah (JKSM) turut berlaku di daerah Kota Setar?

Syeikh Ahmad Faisol: Scam poligami ini pada dasarnya sudah lama berlaku cuma istilah yang baharu digunakan itu sahaja kita dengar menarik.

Tetapi apa yang saya hendak terangkan scam ini bukan sahaja melibatkan poligami malahan juga scam monogami iaitu pernikahan kali pertama.

Scammer atau sindiket yang terlibat ini menjadikan scam sebagai hasil pendapatan mereka dan sentiasa mencari mangsa untuk mengaut keuntungan mencecah RM8,000 bagi setiap pasangan.

Pasangan yang terlibat pula adalah mereka yang mencari jalan mudah untuk melangsungkan pernikahan yang berpunca daripada sebab-sebab tertentu seperti tidak mendapat restu atau untuk menyembunyikan perkahwinan daripada isteri pertama.

Berkaitan kes di daerah Kota Setar, secara purata dianggarkan kira-kira 60 kes dilaporkan setiap tahun berkaitan scam poligami termasuk scam perkahwinan. Namun kami di pihak pejabat agama tidak akan berkompromi dengan sindiket berkenaan.

Dan berdasarkan siasatan kita didapati pasangan yang terlibat dengan scam poligami ini berusia 40 tahun ke atas bagi lelaki dan wanita antara 20-30-an

Bagaimana pejabat agama dapat mengenal pasti taktik scammer ini? Dalam isu ini kita turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketika pasangan ingin melakukan pendaftaran kelahiran, mereka perlu menunjukkan surat nikah terlebih dahulu kepada JPN. Lazimnya sekiranya terdapat keraguan, pihak JPN akan merujuk sijil nikah terbabit kepada mana-mana pejabat agama terlibat untuk mendapatkan kesahihan.

Syeikh Ahmad Faisol (kanan) ketika sesi temu bual yang berlangsung di pejabatnya di Kota Setar, Kedah pada Selasa.

Apabila semakan dibuat, ternyata surat nikah berkenaan palsu selain terdapat beberapa ciri sijil yang sangat ketara perbezaannya termasuk tandatangan pendaftar nikah yang meragukan.

Keduanya, kita turut menerima surat daripada JIM yang mana mereka memerlukan surat nikah sebagai pengesahan kerana ada pernikahan yang membabitkan rakyat negara jiran seperti Thailand.

Jadi apabila terima surat berkenaan kita akan buat semakan. Daripada situ kita dapat mengetahui sama ada ia palsu atau tidak berdasarkan rekod pendaftaran nikah.

Apakah masalah yang timbul kesan daripada penipuan perkahwinan ini dan apakah tindakan ke atas mereka?

Masalah ini tidak timbul serta merta sebaliknya akan terjadi apabila mereka hendak mendaftarkan kelahiran anak di kemudian hari.

Boleh jadi anak yang dilahirkan itu tidak dapat dibinkan kepada nama bapa kerana surat nikah itu palsu atau bagi warganegara luar yang ingin menyambung visa kemungkinan besar mereka tidak akan boleh menyambung visa terbabit.

Berkaitan tindakan pula mereka ini boleh dikenakan tindakan kerana berkahwin tanpa kebenaran.

Cuma masalah yang timbul sekarang ini adalah pelaku berkenaan tidak berasal dari daerah ini, mereka cuma menggunakan alamat di sini, jadi agak sukar untuk kita ambil tindakan.

Akhir sekali saya juga ingin menasihati semua pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan agar tidak terjebak dengan scam ini.

Bagi mereka yang ingin berpoligami haruslah melalui Mahkamah Syariah, yang mana Mahkamah Syariah akan mengeluarkan surat kebenaran poligami yang seterusnya perlu dikemukakan kepada pejabat agama untuk mendapatkan kebenaran berkahwin.

Saya juga hendak ingatkan bahawa urusan pernikahan hanya boleh dilakukan oleh pejabat agama dan dalam premis pejabat agama sahaja.

Jika ada mana-mana individu yang mendakwa boleh membantu anda melaksanakan proses pendaftaran nikah termasuk mendapatkan sijil pernikahan dengan kos mencecah ribuan ringgit jangan percaya, ia adalah sindiket.

Sumber: Sinar Harian

Last Updated on December 10, 2021

Kalendar JKSM

November 26, 2024